Hari pertama sesi internship dimulakan dengan satu sesi perkongsian bersama En. Azwan yang menerangkan tentang konsep mencapai kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya. Sesi ini memberi pendedahan awal kepada para intern tentang kepentingan mempunyai hala tuju yang jelas dalam setiap perkara yang dilakukan.
Dalam perkongsian tersebut, beliau memperkenalkan konsep C.G.P.A, iaitu singkatan kepada Cause, Goal, Planning, dan Action.
Cause merujuk kepada sebab atau tujuan utama di sebalik sesuatu usaha. Setiap individu perlu tahu kenapa sesuatu matlamat itu ingin dicapai kerana sebab yang jelas akan menjadi pendorong untuk terus berusaha walaupun berdepan cabaran.
Seterusnya ialah Goal, iaitu matlamat yang ingin dicapai. Namun begitu, setiap matlamat perlu dirangka dengan lebih teratur dengan menggunakan konsep M.R.T, yang membawa maksud Measurable, Realistic, dan Time-bound.
Measurable bermaksud matlamat tersebut boleh diukur pencapaiannya. Realistic pula merujuk kepada matlamat yang munasabah dan boleh dicapai. Manakala Time-bound bermaksud setiap matlamat perlu mempunyai tempoh masa yang jelas untuk dicapai.
Elemen ketiga ialah Planning. Setelah matlamat ditetapkan, perancangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan setiap langkah yang diambil bergerak ke arah pencapaian matlamat tersebut.
Akhir sekali ialah Action, iaitu tindakan yang diambil untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat. Tanpa tindakan yang konsisten, segala matlamat dan perancangan tidak akan dapat direalisasikan.
Secara keseluruhannya, perkongsian ini memberi gambaran awal kepada para intern bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi memerlukan sebab yang jelas, matlamat yang terancang, perancangan yang sistematik, serta tindakan yang berterusan.
Comments
Post a Comment